Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor telah memberi sumbangan sebanyak 40 katil hospital, 87 tank oksigen, 50 “flowmeter”, 18,000 N95 pelitup muka dan “half-face piece respirator” kepada hospital-hospital di negeri Johor, hari ini.
Penyerahan peralatan perubatan secara simbolik tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor kepada Yang Berhormat Dato’ Dr Aman bin Rabu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah Encik Hishamuddin bin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan juga Yang Berhormat Dato’ Mohd Rashidi Mohd Noor, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi berkata bahawa kurniaan pada hari ini merupakan kesinambungan daripada kurniaan-kurniaan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor. Majlis hari ini menyaksikan simbolik penyerahan kurniaan sumbangan 40 buah katil hospital yang diedarkan ke hospital-hospital di Johor Bahru, Batu Pahat dan Mersing yang bertujuan membantu hospital dalam menambah baik perkhidmatan kesihatan di hospital awam negeri ini. Tambah beliau lagi, YRZSNJ juga kini sedang dalam proses untuk memenuhi keperluan yang lain untuk membekalkan peralatan kesihatan yang lain berdasarkan permintaan dan perbincangan bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi turut memaklumkan, majlis yang diadakan hari ini memberi gambaran mengenai tindakan responsif dan proaktif yang diambil oleh pihak YRZSNJ dalam menjadikan perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini antara yang terbaik di negara ini.
Semua sumbangan yang disampaikan pada hari ini adalah dengan menggunakan dana yang telah diasaskan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor pada 7 Ogos 2021 yang bertujuan untuk menggalakkan penyumbang daripada sektor swasta bagi memberi sumbangan wang tunai untuk membantu dan menguatkan sistem kesihatan yang lemah disebabkan oleh peningkatan kes jangkitan Covid-19. Semua pihak dialu-alukan untuk memberi sumbangan sebagai usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan memberikan bantuan kepada pihak-pihak yang terkesan akibat pandemik ini.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi bin Rohani turut menyatakan bahawa majlis kurniaan hari ini adalah bukti keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap perkhidmatan kesihatan di negeri ini dan diharapkan dengan kurniaan tersebut ia mampu menambahbaik taraf perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan akan digunakan sebaiknya. Bagi pihak rakyat di negeri ini, patik menjunjung setinggi-tingi kasih atas keprihatinan dan kurniaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi juga berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan YRZSNJ kepada Yang Berhormat Dato’ Dr Aman, sebagai wakil kepada keluarga empat orang petugas Kementerian Kesihatan yang terlibat dengan satu kemalangan jalanraya di KM9.7, Lebuhraya Utara – Selatan (Arah Utara) pada hari Rabu yang lepas.
YRZSNJ juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada Yayasan Amal Ng Teng Fong dan Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad atas sumbangan RM1 juta yang akan membantu Yayasan dalam masa jangka yang panjang bagi menyediakan peralatan hospital dan PPE kepada hospital-hospital dan juga untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik ini.
YRZSNJ, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan membeli dan membekalkan peralatan perubatan kepada hospital-hospital di Johor.